HALF GIRLFRIEND - terbitan May 2018

Novel HALF GIRLFRIEND ini mungkin dilihat sebagai cerita 'kahwin paksa/terpaksa kahwin' tapi saya tulis cerita ni kerana saya sangat sukakan cerita bertemakan persahabatan. Sama juga dengan #GHOST, JGA dan JHDP, semua itu bermula dengan kisah persahabatan yang digarap menjadi kisah cinta atau thriller.
#TEASER #HALFGIRLFRIEND

****
“Aku dah penat masak, kau kena makan.” Tangan Hadana ditarik lembut. Badan kecil itu yang sedang berbaring di katil tertarik bangun. Hadana buat badan keras, tidak mahu bangun. Dia terduduk di katil.

CK turut duduk. Wajah Hadana yang nampak masam ditenung. Rambut yang berjutaian di wajah Hadana dikuak ke belakang, diselit di belakang telinga.

“Hadana… izinkan aku menjaga kau buat sementara ini. Kau tak boleh duduk dengan aku dan berlagak begini. Sekurang-kurangnya kau makan apa yang aku dah masak untuk kau,” kata CK lembut.
Dia mencuba skil memujuknya yang tidak pernah dipraktikkan. Dia terpaksa memujuk begitu apabila Hadana asyik menolak apabila diajak makan. Jika dia jatuh sakit, masalah buatnya juga.
“Jom.” Tangan itu ditarik lagi. Badan Hadana dibangunkan dari katil. Tanpa rela, Hadana membontoti CK keluar.
Kerusi ditarik untuk Hadana. CK duduk di sebelahnya.
“Dah. Cukup.” Dia betul-betul tiada selera.
“Makan lebih sikit. Sedap tau chicken porridge yang aku buat ni. Lagi sedap daripada porridge Riverside Cafe.”
Hadana tersenyum kecil. Masih teringat CK mengutuknya kerana makan nasi lembik, sekarang dia pula memasak nasi lembik itu untuknya.

Bubur ayam CK, ada ayam, karot, hirisan halia serta bawang yang ditumis. Terdapat juga ayam goreng yang dipotong dalam potongan besar yang digoreng dalam minyak yang banyak. Potongan besar begitu, seekor ayam harus dipotong empat. Deep fried chicken begitu memang enak kerana isinya akan lebih lembut dan manis. Nampak sangat sedap, tetapi dia memang tiada selera.
CK mencedok bubur ayam yang masih panas dan disua ke mulut Hadana.

“Aku boleh makan sendiri.”
“Aku tak percaya.”
Hadana cuba mengambil sudu daripada tangannya, dengan cepat sudu berisi bubur ayam dilarikan oleh CK.
“Kau patut berterima kasih sebab chef ni rajin melayan kerenah kau ni. Nah, makan,” kata CK selamba.

Comments

Popular Posts