JATUH HATI DI PARIS Bab 4 - London, England.


Sebelas tahun yang lalu

Nadia mencapai beg galas yang berisi barangan peribadinya dan menggalas ke belakang.
“Kau orang cepat sikit, nanti kita lambat.” Nadia mengingatkan rakan-rakannya. Sekilas dipandang jam tangan yang terikat kemas di pergelangan tangan kirinya. Jam itu dihadiahkan oleh ibu dan bapanya ketika dia mendapat keputusan cemerlang di dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia, sekali gus membawanya ke United Kingdom.
Nadia mengingatkan teman-teman yang merangkap kawan serumahnya sekali lagi. “Pastikan tak tertinggal apa-apa yang penting!”
“Mana Aza?” Nadia bertanya kepada Mutia yang sedang memeriksa kandungan beg galasnya.
“Dia dalam tandas!”
“Dia sakit perut ke?”
“Apa lagi, seperti biasalah.”
Nadia mengerti apa yang dimaksudkan oleh Mutia. Jika hendak keluar berjalan-jalan, akan menjadi kemestian bagi Aza untuk melawat tandas.
Lyn muncul dari biliknya bersama dua beg galas. Beg galas yang lebih besar disandang manakala beg yang lebih kecil dijinjing. Mutia memandang Lyn dengan rasa kurang senang.
“Kenapa banyak sangat beg? Kata nak bawa barang penting aje?”
“Ini semua barang penting…” jawab Lyn.
“Banyak sangat tu… nanti berat. Lyn, kita nak naik kereta api tau… kau larat ke nak berjalan ke sana sini dengan beg macam ni?” Mutia cuba membantah.
Bagi gadis seperti mereka untuk menggalas bebanan yang berbelas kilogram di atas belakang dan berjalan ke sana sini menaiki kereta api adalah sesuatu yang amat membebankan. Jadi sebagai langkah berjaga-jaga mereka hanya perlu membawa barang yang penting sahaja.

“Mana ada… tak beratlah. Aku boleh bawa,” kata Lyn.
“Baiklah, tapi jangan kompelin berat pula nanti. Aku tak nak dengar…” Mutia memberi amaran. Dia menggalas begnya, kasut sukan diambil dari rak kasut di tepi pintu.
“Nanti kita boleh letak beg-beg ni di dalam lokar di stesen kereta api.” Lyn cuba mempertahankan diri.
“Kalau jumpa… kadang-kadang keadaan mungkin tak menyebelahi kita.” Mutia cuba mengingatkan Lyn.
Nadia yang memerhati pertelingkahan kecil di antara Lyn dan Mutia hanya menggeleng perlahan. Dia bukan tidak tahu, barang yang ‘penting’ dan ‘sedikit’ bagi Lyn sekurang - kurangnya satu beg troli bersaiz sederhana. Apa yang penting bagi Lyn akan termasuk sekotak tisu, loysen tangan, losyen badan, bedak, pakaian dalam secukupnya, sehelai baju setiap hari bersama seluar panjang dan beberapa helai tudung untuk perjalanan yang dianggap mencabar dan singkat itu. Tidak seperti Mutia yang hanya membawa satu helai seluar gantian dan beberapa helai baju sahaja dan sehelai cardigan. Tidak lupa seluar dalam pakai buang kerana lebih mudah dan ringan, yang tidak akan sekali-kali dilakukan oleh Lyn. Dia rela membawa lebih muatan dan menggalas beg yang lebih berat untuk lebih selesa.
“Apa hal?” tanya Aza yang tiba-tiba muncul.
Nadia menjawab bagi pihak Lyn dan Mutia. “Tak ada apa... budak-budak tu. Small matter.”
“Apa? Budak-budak?” Lyn mencekak pinggang.
“Tengok, siapa yang lebih besar…” Lyn mendekatkan badannya dengan Nadia. Memang dia lebih besar daripada Nadia. Cuma perangainya sedikit keanak-anakan kerana dia anak manja. Nadia menjengketkan badannya supaya dia dapat menandingi ketinggian Lyn sekali gus nampak lebih dominan daripadanya yang bertubuh agak gempal. Dia tersengih lebar. Lyn mencebikkan bibir.
Mutia menjeling ke arah mereka berdua. “Whatever!” Dia sudah menyarung kasut dan bersedia untuk bergerak.

“Sudahlah tu… kita kena keluar sekarang. Nanti tertinggal kereta api!” Aza bersuara tegas selaku ketua kumpulan yang dilantik secara tidak sengaja.
Hari ini buat pertama kali, Nadia dan rakan-rakan satu universiti yang merangkap teman serumah akan meraikan cuti musim panas dengan menjelajah beberapa negara di benua Eropah. Sebagai permulaan, mereka telah sepakat untuk melawat beberapa negara di Eropah Barat. Antara destinasi yang dipilih ialah Perancis, Switzerland dan Belgium.


Nadia and friends bumped into someone. Who and what had happened?
Kalau nak tahu, klik sini ya... http://ilham.karangkraf.com/karya-detail.aspx?idk=2468&idc=13049

Comments

Popular Posts