Check out my upcoming book - UNDERCOVER WIFE
4 tahun lalu…
Genting Highlands, Malaysia.
Dia yakin arahan untuk membatalkan operasi pada malam itu merupakan satu kesilapan. Dia yakin, dia tidak silap. Dia yakin, malam ini dia akan berjaya. Dia masih menunggu.
Pusat kasino terbesar di Malaysia itu bergemerlapan disirami lampu mewah dari candelier kristal cantik yang bergantungan dari siling. Jika ingin menganggar berapa banyak duit yang dilaburkan di situ, lihat sahaja lampu-lampunya. Tidak perlu membilang duit yang diperjudikan di atas meja blackjack ataupun roulette. Tiada satu pun kasino di seluruh dunia yang tidak dihias mewah, lambang kekayaan pemiliknya. Serta lambang kebodohan manusia yang tamak haloba. Jika ingin dihitung juga, satu malam, darab dengan 30 hari? Ia mencecah angka bilion. Wang berterbangan di udara. Semuanya berbau duit.
“A really strong man is one that can overcome his own desires.”
Itu prinsip Roman.
Genting Casino menjadi tumpuan warga Singapura pada hujung minggu. Warga dari China pula berpusu-pusu datang dengan niat untuk menggandakan wang mereka sambil bercuti. Itu tidak termasuk mereka yang sememangnya tegar berjudi. Target utamanya, bukan mereka. Hanya satu orang. Dan yang satu itu masih belum muncul.
Dari sudut yang agak gelap, sekonyong-konyong dia terlihat sesuatu. Pantas dia bergegas. Betul jangkaannya! Tanpa berfikir panjang lagi, dia mengekori dalam senyap. Langkah dipercepatkan dan tiba-tiba sesuatu yang tidak dijangka telah terjadi. Tanpa berfikir panjang, dia mengejar dan terus mengejar. Kali ini mereka tidak akan terlepas dari cengkamannya.
Titik fokusnya, mercedes hitam itu.
Kereta dipandu laju. Hujan yang renyai-renyai tadi sudah berguguran lebat. Jalan yang curam serta berselekoh tajam, amat merbahaya. Tetapi dia tidak mampu untuk memperlahankan kenderaan. Mercedes hitam di hadapannya juga semakin laju, hampir-hampir terlanggar penghadang jalan ketika melalui selekoh. Kedua-duanya berkejar-kejaran.
Roman mengejar umpama seekor bloodhound mengejar mangsa. Di fikirannya, mereka akan ditangkap. Malam itu juga! Sudah lama saat itu ditunggu.
Tidak semena-mena, kereta yang dipandu dengan laju tergelincir. Roman hilang kawalan, menyebabkan kereta terbabas, lalu berpusing-pusing beberapa kali sebelum menghentam sesuatu yang keras. Detuman yang kuat menggegarkan otak. Tubuhnya terasa melayang. Telinga bingit berdengung. Seram, sejuk, semua rasa bercampur dalam sekelip masa. Pada saat itu, hanya dua perkara yang terlintas di fikirannya.
Kematian. Dan dua wajah.
Badannya yang sedang melayang di udara tadi, terdampar di atas sesuatu yang keras. Buat seketika, dia rasakan seluruh anggotanya seperti telah lumpuh sebelum rasa menyucuk-nyucuk di keseluruhan badan berserta denyutan di kepala datang menyerang. Kemudian kedengaran satu letupan tidak jauh darinya. Ruang yang gelap terbias cahaya.
Di matanya hanya kelihatan bintik-bintik hitam dan putih. Ia menyukarkannya untuk mentafsirkan keadaan sekeliling. Yang dirasai pada ketika itu hanyalah perasaan takut dan sakit yang silih berganti. Antara sedar dan tidak, perlahan-lahan ruang di sekeliling menjadi hitam. Otaknya juga sembari kosong. Gelap gelita. Titik. Semuanya telah terhenti.
*****
Musim panas, hari ini.
Rom, Itali
“Elle! Belakang sikit! Okey… Okey. Dah! Cun!”
“Cantik. Satu lagi,” kata Emma yang sedang cuba mengambil sisi yang sesuai. Terlalu ramai orang di sekeliling mereka. Di belakang Elena, sebahagian besar patung kuda di Fontana di Trevi terlindung oleh susuk tubuh manusia yang ghairah mengambil gambar. Ramai orang berpusu-pusu untuk berswafoto dan juga melempar syiling ke dalam air pancut, sehingga ada yang terlupa adat susila.
‘Rome was not built in a day.’ Kata orang.
Betapa pentingnya sejarah Rom, ia telah disebut di dalam al Quran yang mempunyai satu surah khas. Elena ingin mengambil gambar sepuas-puasnya kerana dia tidak berniat untuk datang ke situ lagi. Tidak sekali-kali. Kota Rom ini menyimpan kenangan yang kini hanya menjadi lipatan sejarah. Kenangan manis itu terlalu pahit untuk dikenang. Dia ke sini semata mata untuk mengucapkan selamat tinggal kepada kenangan lalu.
Usai mengambil gambar berdua, Elena ambil telefon, ingin mengambil gambarnya sendiri. Rom, ialah di mana terletaknya Vatican city dan mercu tanda peninggalan zaman purba yang terpenting. Jadi, dia tidak boleh lepaskan peluang itu. Sewaktu dia sedang cuba tersenyum ke arah lensa kamera dengan senyuman yang paling manis, Elena ternampak sesuatu di belakangnya.
Nyawanya seperti mahu tercabut. Waktu seakan terhenti buat beberapa saat. Suara manusia di sekeliling yang agak pikuk terus lenyap. Senyuman yang baru terukir separuh jalan, termati terus.
“Elle! Elle!”
“Elle! Are you okay?” Emma goyang-goyang lengan Elena, yang kelihatan terawang-awang ke dunia lain.
“Ya, okey! I okey…” kata Elena sambik mengangguk-angguk laju. Dia berpaling ke tempat tadi. Di belakangnya. Tiada! Dia kitar mata serata arah, tanpa mempedulikan Emma.
“You tengok apa?” tanya Emma, hairan dengan kelakuan Elena.
Elena langsung tidak menjawab. Dia kelihatan terpinga-pinga.
“Elle… Kenapa dengan you ni? You nampak pucat. Dah kuning muka you ni. You okey ke?” Wajah rakan sekerjanya yang merangkap kawannya itu bukan sahaja pucat, dia nampak terkejut. Ulas bibir yang bersalut gincu merah beri sedikit terbuka. Kepalanya tertoleh-toleh, seperti sedang mencari sesuatu.
“I… I…” Elena berpusing-pusing sekeliling. Mencari-cari figura tadi. Dia yakin, matanya tidak menipu. Dia yakin ia bukan lintasan khayalannya sahaja. Dia juga yakin, ia bukan pekerjaan roh mistik Trevi Fountain.
“You cari apa?” tanya Emma sekali lagi, apabila Elena kelihatan nanar. Tidak seperti Elena yang dia kenal - yakin dan tenang.
“Err…nothing. I thought I saw something…”
“Apa? You nampak apa?” Emma bertanya dengan tidak sabar.
Elena geleng lagi. Dia tidak pasti sama ada dia harus memberitahu kawannya itu. Emma mungkin akan menyangka bahawa dia hanya berhalusinasi.
“Nothing.” Akhirnya Elena berkata perlahan. Dia paksakan satu senyuman nipis untuk tatapan Emma.
“You nak toss coins dalam fountain tu, tak?” tanya Emma, dengan penuh keterujaan. Itu adalah antara niat Emma apabila ke Rom.
Elena ingin sekali berbuat begitu. Bukan kerana dia percaya apa yang mereka percaya, dia hanya mahu lakukan sekadar suka-suka. Namun, Elena menggeleng. Bayangan tadi sudah mematikan seleranya.
Matanya ditala ke seluruh kawasan Fontana Di Trevi yang terkenal di kalangan pelancong dari seluruh dunia. Mereka percaya, jika mereka membaling syiling sambil berdoa, mereka akan dapat kembali ke Rom sekali lagi. Malangnya Elena sekali-kali tidak ingin ke situ lagi.
“You nak duduk dulu?” tanya Emma apabila Elena langsung tidak menjawab pertanyaannya. Dia risau apabila kawannya itu kelihatan pucat tiba-tiba. Sakitkah dia? Tiba-tiba sahaja. Atau… Jangan-jangan dia tersampuk roh yang tidak tenang di sini? Ah! Emma tepis fikiran yang bukan-bukan.
Elena angguk. Dia masih terkejut. Fikirannya masih lagi melilau mencari susuk tubuh itu. Wajah itu. Renungannya. Senyuman itu. Gerak gayanya. Cara jalannya.
“Kita makan gelato, nak? Jom, sambil tu you boleh duduk-duduk.”
Cadangan Emma dijawab dengan satu anggukan sahaja.
****
Mereka memilih kedai yang agak kecil untuk menikmati gelato, yang bermaksud ais krim di dalam bahasa Itali. Tidak seperti ais skrim biasa, yang menggunakan krim di dalam resepi, gelato dibuat dengan menggunakan lebih banyak susu berbanding krim, yang buat rasa gelato lebih lemak dan berkrim. Gelato selalunya kurang manis berbanding ais krim, serta jauh lebih sedap.
Emma memesan gelato coklat manakala Elena memesan gelato lemon dan strawberi. Mereka menunggu dengan sabar sambil melihat bagaimana gelato yang diletak di dalam bekas yang besar dicedok ke dalam cawan.
“Look at that! Tengok sahaja pun dah geram!” kata Emma dengan teruja apabila gelato coklatnya sampai ke tangan. Terus gelato dicedok dengan sudu dan disua ke mulut. Emma menjilat-jilat bibir sambil berkata-kata sesuatu.
"Sedapnya ya Tuhan... Puas hati makan gelato kat sini!" kata Emma dalam teruja.
Keterujaan Elena untuk menikmati gelato telah tenggelam dengan peristiwa tadi. Otaknya tidak lepas dari memikirkan berkenaan lelaki itu. Dia menikmati gelato buah-buahannya di dalam diam.
‘Betulkah itu dia?’
‘Pelanduk dua serupa?’
‘Ah… Tak mungkin. Tetapi mengapa hatinya berdetak tidak senang?’
Otaknya masih lagi ligat sedang berfikir, berputar di kawasan Fontana di Trevi. Ramai orang di situ, tetapi Elena hanya nampak dia seorang.
“You tau tak, kat sinilah scene Anita Ekberg campak coin, dalam cerita La Dolce Vita. Scene yang yang mana Marcello Mastroianni mengarung air fountain mengekori Anita Ekberg. What magical moment! So romantic… With her black dress!Owh!” kata Emma dengan penuh perasaan. Dia sudah lupa suaranya sudah terkuat dari biasa.
“Orang kata, kalau nak ke sini, kena datang awal; pagi atau lewat malam. Orang tak ramai. Mana tahu, dapat alami experience yang legend macam dalam cerita tu?” Emma masih lagi bercakap biarpun di sebelah sana, Elena hanya diam membatu.
“You tahu tak, on average, about €3000 is thrown in that fountain every day. Can you imagine the figure? Huh, berapa biji beg kita boleh beli dengan harga tu! Nak rembat Fendi yang calf skin tu pun boleh… Nak beli Prada Mirage pun dapat babe!” Ujar Emma lagi, penuh keterujaan.
“Weh! I tengah cakap ni!” sergah Emma. Elena lebih melayani perasaannya berbanding melayan gelato ataupun dia. Geram pula!
“Sorry! You cakap apa?”
“I kata, jumlah duit yang pelancong buang ke dalam fountain tu setiap hari berjumlah dalam 3000 Euro, okey! Bukan ringgit. You kira berapa handbag kita boleh beli. Prada… LV… Fendi…” Emma ulang siaran yang Elena terlepas.
“Ye ke? Banyaknya?” Tiba-tiba Elena bersuara dalam nada teruja sambil menjilat sudu. Dia tidak pernah tahu.
“Ya… Aku baca kat internet,” kata Emma yang baru pertama kali ke Rom. “Tradisionally, pengunjung yang datang akan buang duit syiling ke dalam Fontana di Trevi untuk memastikan mereka akan dapat peluang untuk ke sini lagi.
“Patung-patung tu semua, represent the mood of the seas. Hmm… Dia orang ni, memang suka ukir-ukir patung macam ni…” Sambil bercakap, laju tangan Emma menggodek mangkuk dan menyua gelato ke mulut.
“Kita boleh ke sana lagi, petang-petang sikit bila dah kurang orang, kalau you nak campak coins,” tutur Elena. Kesian pula dia pada Emma.
“Hmm… Okey jugak. Lenguh juga kaki ni panjat Spanish Steps tadi. Kita lepak kat sini dulu.” Kaki Emma betul-betul lenguh kerana banyak berjalan.
Tiba-tiba Elena berkata sesuatu dalam tergesa-gesa. Kalut sahaja tingkah lakunya seperti dia akan ketinggalan sesuatu.
“Emma, you tunggu I kat sini!”
“Eh, you nak pergi mana ni?” Emma terpinga-pinga dengan tingkah laku Elena yang bangun secara tiba-tiba.
“I rasa I terjatuh something tadi. You tunggu sini, I nak pergi cari!” kata Elena dalam kelam kabut.
Kalut sahaja gayanya. Ini bukan seperti Elena yang selalu tenang dan yakin seperti model berjalan di atas papan catwalk.
“Sekejap je.” Dan tanpa memberitahu apa-apa lagi, Elena sudah hilang di sebalik pintu kedai. Mangkuk gelato yang masih bersisa ditinggalkan begitu sahaja.
Comments
Post a Comment